7 KEBAIKAN AKTIVITI LOMPAT TALI ATAU 'SKIPPING'

Assalamualaikum dan hai Semua! Hari ini nuna hendak kongsikan satu aktiviti fizikal yang boleh membantu kita kekal sihat, menyeronokkan dan yang paling penting mesra poket iaitu Lompat Tali atau 'Skipping'. Ramai yang telah meningkat dewasa tapi dah segan nak buat aktiviti 'skipping' ni kann .Haa kalau nak tahu kenapa perlu buat aktiviti ini?







Semasa kita kecil, kanak – kanak lelaki lebih sinonim dengan permainan bola sepak manakala kanak – kanak perempuan pula dengan permainan lompat tali atau 'skipping' ini. Ada yang terlampau gigih dan kreatif, sanggup menyambungkan getah sehingga membentuk satu rantaian getah yang panjang. Sayangnya permainan ini makin dilupakan apabila kita meningkat dewasa. Sebenarnya 'skipping' ada pelbagai kebaikan untuk badan. Hari ini saya nak kongsi faedah aktiviti 'skipping' kepada kanak – kanak dan juga dewasa.


1️⃣
Membantu Membakar Kalori
♦️
Lompat tali atau 'skipping' boleh membantu bakar kalori sama seperti aktiviti fizikal lain seperti berenang, berbasikal dan berjoging. 'Skipping' boleh membakar 200 hingga 300 kalori dalam tempoh 15 minit. Aktiviti ini boleh membakar hampir 1300 kalori dalam tempoh satu jam. Jumlah kalori yang dibakar ini lebih banyak berbanding dengan berjoging selama satu jam.
♦️
Anggaran kalori yang dibakar Ketika aktiviti fizikal adalah seperti berikut:
'Skipping' – 14 kalori / minit
Berenang – 12 kalori / minit
Berlari – 15 kalori / minit
Berbasikal – 14 kalori / minit

2️⃣
Menguatkan Otot dan Sendi Kaki
♦️
Aktiviti ini dapat mengurangkan risiko kecederaan di bahagian kaki terutama pergelangan dan jari kaki. Ketika sedang 'skipping', badan kita akan memberi lebih fokus dan tekanan di bahagian kaki. Pemain tenis, bola lisut (baseball) dan pemain bola sepak biasanya akan menjadikan 'skipping' sebagai senaman memanaskan badan (warming up) untuk menguatkan otot dan sendi bahagian kaki, justeru mengurangkan risiko kecederaan.
♦️
Selain itu, aktiviti 'skipping' juga memberi manfaat kepada otot bahagian atas badan seperti bahu, bisep, trisep, dan lengan.
💪
Otot ini akan bekerjasama menggerakkan tali membentuk pusingan. Otot dan tulang yang kuat bukan sahaja memberi manfaat dengan mengurangkan risiko kecederaan, malah mampu menampung berat badan dengan lebih baik.


3️⃣
Meningkatkan Koordinasi Tubuh
♦️
'Skipping' merupakan aktiviti yang dapat meningkatkan koordinasi tubuh kerana beberapa bahagian tubuh badan seperti bahu, tangan, dan kaki saling bekerjasama bergerak untuk melengkapkan satu pusingan pergerakan. Ketika melakukan aktiviti 'skipping', tangan akan memusingkan tali dan mata akan memerhati arah pergerakan tali untuk menentukan masa yang tepat untuk kaki melompat. Kemudian kaki akan melompat seiring dengan pusingan pergelangan tangan untuk memastikan individu melompat menghasilkan lompatan yang berterusan. Dengan erti kata lain, aktiviti ini melibatkan koordinasi tangan, mata dan kaki.
♦️
Pada tahun 2017, satu kajian telah dijalankan terhadap kanak-kanak autistik untuk melihat kesan aktiviti ini ke atas koordinasi badan terutama skil motor. Kajian menunjukkan terdapat perkembangan positif ke atas kanak – kanak autistik terutamanya dari aspek keseimbangan atau “balance”. Kanak – kanak autistik biasanya mengalami kesukaran dengan keseimbangan dan koordinasi anggota tubuh badan.
♦️
Bagi yang baru berjinak-jinak dengan senaman ini, mungkin akan kerap tersadung tali pada permulaan, namun lama–kelamaan koordinasi tubuh akan menjadi lebih baik. Tersadung tali tidak lagi menjadi satu masalah.

4️⃣
Memperbaiki Postur Badan.
♦️
Selain itu, 'skipping' juga merupakan aktiviti yang boleh membantu membaiki postur badan. Postur badan yang buruk akan kelihatan membongkok serta menyebabkan kesakitan terutama kepada bahagian bahu, pinggang dan tulang belakang. Apabila melakukan aktiviti 'skipping', postur badan secara automatik akan berubah menjadi menegak dan mendada. Lama– kelamaan ia akan membantu membetulkan postur tubuh menjadi lebih baik.

5️⃣
Menguatkan Tulang
♦️
Aktiviti ini boleh bantu tingkatkan kepadatan tulang dan kurangkan risiko osteoporosis. Gerakan melompat yang berulang-ulang dapat menguatkan tulang.
♦️
Kajian yang disiarkan dalam Journal of Applied Physiology pada tahun 2006 mendapati wanita yang melompat setinggi yang mereka mampu sebanyak 10 kali, tiga kali seminggu selama 6 bulan, kepadatan tulang di bahagian kaki dan tulang belakang meningkat. 'Skipping' juga boleh memberi kesan yang sama.
♦️
Apa pentingnya meningkatkan kepadatan dan ketumpatan tulang?
Kita andaikan badan kita adalah sebuah bangunan, kaki adalah sebagai tapak bangunan dan tulang sebagai rangka bangunan dan tiang. Rangka bangunan yang kukuh dan kuat semestinya menjadikan bangunan itu selamat dan tidak mudah roboh. Kepadatan dan ketumpatan tulang yang tinggi mencerminkan tulang yang sihat, kuat dan tidak mudah patah.

6️⃣
Meningkatkan Kesihatan Jantung

Semua jenis senaman kardiovaskular bagus untuk kesihatan jantung. Aktiviti 'skipping' adalah salah satunya. Menurut American College of Sport Medicine, aktiviti 'skipping' yang dilakukan tiga hingga lima kali seminggu selama 12–20 minit baik untuk kesihatan jantung dan paru–paru. 'Skipping' merupakan latihan kardiovaskular yang bagus kerana ia melibatkan pergerakan seluruh anggota tubuh badan. Dengan bersenam secara kerap dan konsisten dapat melancarkan peredaran darah ke seluruh badan dan mengelakkan pengerasan arteri yang merupakan punca utama berlakunya strok.
♦️
Tapi ingat jika rasa ingin pitam atau sesak nafas ketika bersenam, anda patut berhenti seketika dan dapatkan nasihat daripada doktor sebelum mula bersenam kembali. Bagi mereka yang mempunyai masalah jantung juga dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan daripada doktor atau ahli fisioterapi yang bertauliah sebelum memulakan apa – apa aktiviti fizikal.

7️⃣
Mengurangkan Stress.
♦️
Manfaat atau faedah yang terakhir apabila kita melakukan aktiviti ini ialah dapat mengurangkan stress atau tekanan. Kajian membuktikan ketika kita bersenam, otak akan menghasilkan hormon serotonin yang membuatkan kita rasa gembira dan endocannabinoids yang memberi rasa tenang. Kedua – dua bahan yang dihasilkan ini, bersama dapat meningkatkan kualiti hidup yang lebih sihat dan gembira.
🌸
Aktiviti 'skipping' ni sangat fleksibel. Malas nak keluar rumah? Boleh lompat dalam rumah. Kita cuma perlukan tali skipping dan sedikit kerajinan. Jadi aktiviti 'skipping' ni boleh buat bila – bila masa dan di mana sahaja.

Semoga bermanfaat untuk semua...jumpa lagi di lain entri ya.

0 Comments